Penduduk Kampung Pulai dan Kampung Ara Panjang, di Manong di sini, gempar apabila mengesan aktiviti dipercayai pemujaan pada satu makam kerabat diraja di kampung itu baru-baru ini.

Kegiatan itu terbongkar apabila penduduk kampung ternampak satu kumpulan memindahkan batu nisan pada kubur berusia ratusan tahun itu ke tanah perkuburan di Jalan Tanah Wakaf berhampiran kampung tersebut untuk pemujaan pada Isnin lalu.

Seorang penduduk, Amirul Japeran Shah, 45, berkata kumpulan terbabit terdiri daripada lapan indivitu iaitu empat lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak.

Beliau berkata sebelum melakukan aktiviti itu kumpulan berkenaan telah memperdaya orang kampung dengan mendakwa mereka daripada keturunan kerabat diraja sambil menunjukkan kad.

"Apabila mereka tunjuk kad, penduduk kampung diam sahaja kerana menganggap ia betul. Mereka datang (kawasan kubur) antara pukul 1 hingga 2 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pulai di sini pada Rabu.

Amirul Japeran berkata penduduk curiga apabila melihat batu nisan itu dibalut dengan beberapa kain berwarna kuning serta putih dan mereka dilihat mengelilingi kawasan kubur beberapa kali seakan-akan melakukan upacara pemujaan.

"Kumpulan itu memaklumkan bahawa mereka menerima wahyu untuk memindahkan batu nisan itu kerana kawasan lama panas sementara kawasan baharu sejuk... kami sudah pulangkan semula batu nisan ke tempat asal," katanya.

Ketua Kampung Pulai, Saleh Abd Wahab, 60 berkata kumpulan itu telah mempergunakan namanya bagi meyakinkan penduduk kampung bahawa mereka telah mendapat kebenaran daripadanya.

"Kumpulan itu ada mengambil gambar saya sedang berbincang dengan mereka kerana apabila orang kampung tanya, mereka akan tunjuk gambar tersebut dan mengatakan ketua kampung tidak melarang.

"Bila mereka kata begitu, orang kampung marah pada saya dan kata saya tak buat kerja kerana biarkan perkara khurafat berlaku dalam kampung," katanya sambil menambah kumpulan itu mengugut penduduk kampung setelah mengetahui kegiatan mereka terbongkar.

Saleh berkata beliau telah membuat laporan di Balai Polis Manong pada Selasa lalu dan meminta polis menjalankan siasatan sementara pihaknya akan memantau kawasan itu bagi memastikan kegiatan sedemikian tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Kampung Ara Panjang, Saad Yob Mat 56, berharap pihak berkaitan mengambil tindakan segera termasuk memulihara kawasan kubur itu kerana ia tinggalan sejarah berharga.

Katanya, kubur yang berkemungkinan berusia ratusan tahun itu perlu dibersihkan dan dipagar bagi mengelak orang luar mencerobohi kawasan itu.

-- BERNAMA