Zoo Taiping & Night Safari menerima kelahiran seekor lagi anak kuda belang, yang kedua dalam tempoh dua tahun.

Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Taiping, anak kuda itu yang lahir antara jam 3 dan 4 pagi pada Jumaat, dianggarkan seberat 70 kilogram dan dalam keadaan sihat.

Katanya, induk betina telah berada di Zoo Taiping sejak tujuh tahun lalu sementara kuda belang jantan dipinjamkan dari Zoo Negara untuk program pembiakan.

“Kini, anak kuda belang yang belum dikenal pasti jantinanya itu sudah boleh berdiri dan berlari-lari sambil diiringi oleh ibunya.

“Sesekali kelihatan si ibu menjilat-jilat badan anaknya, untuk membersihkan dan juga membantu memanaskan badan anaknya itu,” katanya.

Terdahulu, pada 11 November 2018, induk kuda belang itu telah melahirkan seekor anak kuda belang betina yang kini dilihat sentiasa aktif bersama-sama keluarganya.

Menurut kenyataan itu, dengan kelahiran terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kuda belang di Zoo Taiping & Night Safari sebanyak empat ekor.

Orang ramai, khususnya pengunjung, boleh melihat gelagat keluarga kuda belang ini dengan ahli baru mereka di pameran Savanna Afrika.