Siapa sangka kuih kapit yang merupakan kuih tradisional kegemaran wanita muda ini memberi sumber rezeki kepadanya sehingga nekad berhenti kerja sebagai penjawat awam dua tahun lepas.

"Saya beranikan diri untuk berhenti kerja dan meneruskan perniagaan kuih kapit secara sepenuh masa," kata usahawan kuih kapit Nur Farrah Diba Azhar.

Katanya beliau nekad untuk berhenti kerja selepas menerima tempahan kuih kapit yang banyak daripada pelanggannya sekali gus tidak dapat memberi komitmen kepada kerja hakikinya.

"Orang yang paling bersetuju saya berhenti kerja adalah pakcik saya. Beliau sangat menggalakkan saya mengusahakan perniagaan kuih kapit ini. Ibu dan ayah tidak bersetuju saya berhenti kerja pada mulanya sebab saya sudah punyai kerja tetap, hampir enam tahun saya bekerja dengan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang.

"Jika saya tidak boleh beri komitmen kepada kerja lebih baik saya berhenti dan tempat saya boleh diisi oleh mereka yang memerlukan kerja," katanya dan menurutnya pada permulaannya beliau menjalankan perniagaan kuih kapit secara 'dropship' dengan mengambil kuih tradisional itu daripada pembekal pada tahun 2015 untuk dijual kepada pelanggannya.

Namun, Nur Farrah Diba, 28, berkata segalanya berubah selepas pembekal melarikan diri dan tidak dapat membekalkan kuih kapit yang ditempahnya untuk pelanggan beliau.

"Kebetulan pada tahun 2015, bulan Julai saya mendapat tempahan yang sangat banyak lebih dari 7,000 balang sebab masa itu orang nak sambut Hari Raya Aidilfitri.

"Lagi tiga minggu nak raya pembekal lari sebab tak dapat nak penuhi tempahan kuih kapit yang banyak sehingga saya terpaksa pulangkan wang deposit kepada pelanggan."

Beliau berkata kelebihan kuih kapitnya ialah mengikut cara pembuatan kuih kapit masyarakat Cina yang rapuh dan tidak tebal memandangkan beliau juga anak kacukan Melayu dan Cina.

Di peringkat permulaan, beliau berkata pihaknya hanya mengeluarkan sebanyak empat perisa kuih kapit iaitu perisa 'original', coklat, mentega kacang dan nutella.

"Setiap perisa mempunyai golongan sasar tersendiri. Kanak-kanak mereka lebih suka kuih kapit coklat dan nutella. Orang perempuan pula suka makan kuih kapit perisa mentega kacang.

"Masyarakat Cina pula mereka lebih sukakan kuih kapit serunding ayam. Bagi penggemar durian pula akan memilih kuih kapit durian," katanya.

Beliau berkata walaupun melakukan pelbagai inovasi terhadap perisa kuih kapit itu, namun rasa keaslian kuih tradisional itu tetap dikekalkan.

Nur Farrah Diba yang mengusahakan NFDAE Enterprise di Taman Janggus Jaya, Permatang Pauh di sini sejak dua tahun lepas mendapat tempahan menggalakkan terutamanya pada musim perayaan dengan kira-kira 12,000 balang setiap tahun yang dijual antara RM10 dan RM15 sebalang.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Nur Farrah Diba berkata beliau merancang untuk memasarkan kuih kapit perisa durian ke negara China memandangkan penduduk di negara itu sangat menggemari raja buah itu.

"Saya pasang niat kalau kuih kapit saya sudah dapat sijil halal dan saya punyai premis sendiri, produk saya boleh dipasarkan ke negara China. Saya lihat kuih kapit durian ini boleh pergi jauh dan punyai potensi untuk dijual ke pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA