Tangisan kegembiraan membanjiri Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila sejumlah 407 jemaah haji Malaysia disambut ahli keluarga di sini pada kira-kira jam 10.50 malam tadi.

Puluhan ahli keluarga dari pelbagai negeri menunggu di balai ketibaan sejak 7 petang tadi hanya untuk menyambut jemaah haji Malaysia yang berlepas dari Jeddah pada jam kira-kira 7 pagi tadi dengan penerbangan Saudi Arabian Airlines (Saudia) SV5212.

Jemaah haji sebelum itu turut disambut oleh Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika mereka tiba di sini pada jam kira-kira 10 malam.

Abdul Azeez berkata sebanyak 68 penerbangan menggunakan Saudia dan Malaysia Airlines (MAB) yang akan membawa pulang kesemua jemaah haji Malaysia dan petugas-petugas Tabung Haji.

"Sebanyak 25 penerbangan akan menggunakan pesawat Saudia dan 45 penerbangan menggunakan pesawat MAB.

"Penerbangan terakhir yang akan membawa jemaah haji Malaysia adalah pada 28 Oktober nanti," jelas Abdul Azeez dalam satu sidang media di Bilik CIP 1, di sini.

Beliau juga berkata pada tahun ini hanya 24 jemaah haji yang meninggal dunia berbanding 36 pada tahun lalu.

Penerbangan kedua KT01 dijadualkan berlepas pada jam 10.30 malam tadi dan dijangka akan tiba di Malaysia pada jam 7.45 pagi esok.