Kumpulan terakhir Malaysian Battalion 850-5 (Malbatt 850-5) tiba di tanah air hari ini selepas menamatkan misi pengaman selama setahun di Lubnan.

Kumpulan seramai 192 pegawai dan anggota itu tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada 5.40 petang dan disambut Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Kontinjen Malbatt 850-5 yang keseluruhannya dianggotai 850 anggota memulakan misi United Nations Interim Force in Lebanon pada 20 September 2017 dan menamatkan perkhidmatan pada Isnin lepas (24 September).

Kumpulan pertama, kedua dan ketiga telah kembali ke tanah air secara berperingkat bermula 7 September lepas.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan, kontinjen Malbatt 850-5 mempamerkan disiplin dan mutu kerja cemerlang serta membuktikan keupayaan sebagai Angkatan Tentera Malaysia.

"Kontinjen ini berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman yang disegani masyarakat setempat dan antarabangsa," kata kenyataan yang dikeluarkan pada Majlis Sambutan Kepulangan Kumpulan Malbatt 850-5 di sini.

Kontinjen Malbatt 850-5 dengan rasminya telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada Malbatt 850-6 yang diketuai Kol Azhan Md Othman, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA