Sekumpulan wanita menyamar sebagai doktor gigi ditahan dalam serbuan yang dijalankan penguatkuasa Jabatan Kesihatan Terengganu (JPNT) ketika sedang memasang pendakap gigi palsu di kampung Losong, Kuala Terengganu.

Dua wanita, masing masing berusia 21 tahun, bersama seorang lagi yang berjaya melarikan diri, menawarkan perkhidmatan itu sejak dua bulan lalu di pelbagai lokasi, dengan harga serendah RM550 berbanding ribuan ringgit di klinik bertauliah.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar, berkata individu berkenaan menarik perhatian pelanggan dengan menyamar sebagai doktor gigi bertauliah dan mengiklankan perkhidmatan di media sosial.

Menurut Dr Mohammad, mereka sering meminda lokasi dan masa temujanji di saat akhir bagi mengelirukan pihak penguatkuasa namun aktiviti haram berkenaan akhirnya berjaya dihidu hasil intipan dan maklumat orang ramai.

"Mereka hanya belajar daripada kawan dan bergerak dari satu negeri ke satu negeri. Jadi pengamal ni tadi dari Kuala Lumpur datang ke sini selepas ada yang membuat tempahan melalui internet dan bayaran juga melalui online.

"Pada serbuan hari ini kita dapat lebih kurang 17 pelanggan dan ini bermaksud 'fake braces' ini sangat popular di sini," katanya.

Katanya, aktiviti haram tiga remaja berkenaan turut diintip di Kemaman bulan lalu, namun mereka berjaya lolos sebelum serbuan dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

JIka disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM300,000 dan dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.