Kekurangan kapasiti menjadi punca hanya tujuh peratus pelajar lepasan Tingkatan 3 mengikuti pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata mengikut rekod, pada 2016 kementeriannya menerima 72,000 permohonan pelajar yang ingin mengikuti pendidikan TVET, namun hanya 16,000 tempat disediakan.

Justeru, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke bidang TVET dan kolej vokasional (KV), termasuk program khidmat bantuan di seluruh negara dan pendedahan mengenai prospek kerjaya yang boleh diceburi graduan KV.

“Kementerian Pendidikan melaksanakan transformasi TVET sejak 2012 untuk mengangkat martabat aliran itu sebagai aliran perdana untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memenuhi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan kadar kemasukan pelajar ke institusi TVET dan tindakan yang diambil untuk meningkatkan kadar kemasukan pelajar pelbagai bangsa ke institusi berkenaan.

Ujar beliau, rekod turut menunjukkan permohonan untuk menyertai pendidikan TVET pada tahun ini berjumlah 66,000 pemohon dan hanya 17,000 tempat disediakan.

Jelasnya, lebih 90 peratus lepasan TVET 2016 telah berjaya mendapat kerja.

Justeru, katanya, Kementerian Pendidikan akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM4.9 bilion sebaik mungkin dalam menambah kapasiti serta kualiti pendidikan TVET.

Selain Kementerian Pendidikan, enam lagi kementerian yang turut terlibat dalam melaksanakan TVET ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.