APAKAH yang 'tiada' di kebanyakan lokasi seperti institusi perbankan, sekolah, malah di kawasan pelancongan di negara ini?

Isu yang dikenal pasti di lokasi berkenaan sebenarnya merujuk kepada dilema yang dihadapi individu pemegang kad berstatus orang kelainan upaya (OKU) yang berkerusi roda.

Masalah ketiadaan kemudahan untuk golongan berkerusi roda itu disuarakan komuniti OKU dari kumpulan Utara Hebat dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Menurut mereka, masalah sama berlarutan sejak sekian lama, namun malangnya tiada jalan penyelesaian yang menyeluruh dilakukan.

Sejak mengalami kecacatan fizikal empat tahun lalu, seorang OKU berkerusi roda, Mohd Aiman Haykal Roslan menyuarakan keluhan mengenai kemudahan untuk individu yang senasib dengan dirinya.

“Sebelum ini kita tak pernah nampak, tapi setelah kita jadi OKU ni baru nampak.

“Contoh paling utama (bagi kekurangan kemudahan OKU) adalah di masjid, selain tempat-tempat awam yang kita perlu akses seperti bank. Belum lagi di tahap yang memuaskan,” ujar Mohad Aiman.

Pendapatnya itu turut disokong seorang lagi OKU berkerusi roda, Zul Affandy Zainol Abidin, yang menurutnya hampir 70 peratus tempat melancong dalam negara tidak mempunyai prasarana mesra OKU.

“Kalau melancong, kita kena tengok dulu dalam talian mengenai kemudahan tu. Kalau sesuai, baru kita tempah,” luahnya.


Begitu juga keadannya di stadium.

Selain kurang atau tiada langsung parkir khas untuk golongan OKU, fasiliti di tempat tontonan juga menjadi kesulitan buat golongan sedemikian.

“Tiada (kemudahan). Kalau ada pun, boleh duduk kat bawah tu ja… Kalau hujan pun kena lari, sebab bumbung tak ada.

“Tempat khas OKU memang tiada, Kalau nak pergi te ngok perlawanan bola sepak, siapa yang angkat? Macam saya boleh turun sendiri.. ada orang bawa turun kerusi roda dan lepas itu saya tolak sendiri,” ujar seorang lagi ahli kumpulan Utara Hebat, Mohd Ridzuan Khalid.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi kumpulan Utara Hebat, Mohd Johari Salleh, berharap kerajaan baharu dapat membantu meringankan masalah tersebut yang disifatkannya sebagai serius.

“Kebanyakan tempat tiada ramp (tanjakan), tiada laluan untuk kerusi roda. Dari bank, sekolah, masjid.

“Jadi kita minta kerajaan baharu ni teliti dan lakukan (usaha) lebih, dengan memandang (masalah) OKU,” kata Mohd Johari.

Sementara itu, Astro AWANI cuba mendapatkan maklum balas di peringkat negeri, namun mereka meminta masalah itu dirujuk terus kepada pihak kementerian berkaitan.

BACA: Akta OKU perlukan 'taring' - Ras Adiba