Kekurangan kerja penyelenggaraan merupakan penyebab kontraktor kelas kecil seperti G1 dan G2 di Pahang sukar mendapat projek kecil pada masa ini.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sehubungan itu dakwaan mengatakan kebanyakan projek kecil diberikan kepada syarikat konsesi menjadi punca utama kontraktor itu berdepan risiko gulung tikar akibat kurang mendapat projek adalah tidak tepat.

Beliau berkata ini kerana bilangan kontraktor itu ramai jika dibandingkan dengan jumlah kerja penyelenggaraan yang ditawarkan kepada mereka.

"Misalnya kerja ada 10 sahaja, kontraktor kelas kecil ini ada 1,000...macam mana... lainlah kerja ada 1,000, kontraktor ada 10, bolehlah dapat 100 kerja seorang.

"Ini soal kontraktor ramai, tetapi kerja kurang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Malaysia 2016 peringkat negeri di sini pada Sabtu.

Adnan mengulas rayuan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang kepada kerajaan supaya memberi lebih banyak peluang kepada kontraktor kelas G1 dan G2.

Yang Dipertua PKMM Pahang Ghafar Lambak berkata difahamkan situasi terkini menunjukkan kebanyakan projek itu diberikan secara konsesi sehingga menyukarkan kontraktor kecil itu untuk terus bertahan.

Adnan berkata beliau akan membawa isu berkenaan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini untuk dibincangkan dan wakil persatuan itu akan turut dipanggil bersama.

Dalam pada itu, Adnan berkata antara syarat yang Kerajaan Negeri kenakan terhadap syarikat konsesi terbabit untuk diberikan projek kecil adalah mesti mempunyai kedudukan kewangan kukuh untuk memudahkan pengagihan kerja kepada kontraktor kecil terbabit.

"Sebab kadang-kadang syarikat konsesi ini pun dapat bayaran lambat juga yang mana walaupun belum dibayar daripada Kerajaan Negeri misalnya, kontraktor kelas kecil ini sudah dapat bayaran, syarikat konsesi ini mendahulukan duit kepada kontraktor kecil ini sementara menunggu bayaran daripada Kerajaan Negeri," katanya.