Kekurangan maklumat mengenai bahaya kandungan arak palsu menjadi antara punca ramai pengguna terutama warga asing terus membeli minuman itu yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kes keracunan arak yang meragut banyak nyawa warga asing baru-baru ini membuktikan mereka kurang arif tentang bahaya kandungan minuman arak palsu dan tiruan yang dijual di pasaran.

"Pengguna masih tidak mengetahui bahaya untuk minuman arak palsu dan antara ramai terlibat adalah warga asing yang mungkin maklumat (bahaya arak tiruan) tak sampai golongan itu," katanya dalam sidang media selepas menutup Minggu Penyelidikan Peringkat Negeri Selangor 2018 anjuran Pusat Penyelidikan Klinikal Kluster Selangor Zon Tengah di Hospital Shah Alam (HSA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian hanya mempunyai kuasa menyiasat kandungan sesuatu produk minuman keras sama ada ia mematuhi Akta Makanan 1983 selain memastikan keperluan pelabelan seperti nama alamat pengilang, pengimport ataupun ejen.

Beliau sebaliknya berkata tindakan penguatkuasaan ke atas minuman arak tiruan terletak di tangan pihak penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam untuk menyiasat keseluruhan rantaian perbekalan minuman itu.