Masalah kurang parkir kereta di kawasan perumahan di sekitar ibu kota terus mengganggu kesejahteraan penduduk.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, menjelang tengah malam, beberapa kawasan menjadi sesak susulan penduduk terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama berdekatan kawasan perumahan mereka.

Bagi penduduk di Pangsapuri Teratai Mewah, ada yang menganggap kemudahan parkir kereta yang terhad dalam kawasan perumahan antara punca kejadian ini berlaku.

"Setiap rumah ada dua atau tiga kereta, macam di kawasan perumahan kami, hanya 150 lot parkir disediakan, jadi di mana mereka nak letak kereta?" soal Krishna, penduduk di Pangsapuri Teratai Mewah.

Jelas Krishna, keadaan itu menyebabkan ramai penduduk kini terpaksa meletakkan kereta mereka di jalan utama yang lot parkirnya terhad.

"Ada lebih sembilan buah kereta yang dah lebih dua tahun ditinggalkan di lot parkir dekat jalan ini.

"Ini pun menyusahkan kami sebab peluang untuk parkir kereta semakin kurang di samping pemandangan yang tidak elok," jelasnya lagi.

Bagi Azmaya Abdul Aziz, sebagai seorang ibu yang berniaga, dia terpaksa meletakkan kenderaannya lebih satu kilometer dari kawasan perumahannya.

"Macam saya, biasanya balik waktu tengah malam.

"Parkir dah penuh dan saya terpaksa berjalan jauh untuk meletakkan kereta saya ditambah pula dengan risiko kawasan ini yang agak tinggi kadar jenayah jalanan," jelasnya kepada Astro AWANI.

Bagi yang sudah mendiami kawasan ini lebih enam tahun, Muhammad Haqim Hidayat Azman menyifatkan situasi ini sudah 'biasa' baginya.

"Tempat ni memang dah lama kurang parkir kereta.

"Kalau ikut pengalaman, saya pernah kehilangan 'sport rim'. Tetapi, kalau setakat kena langgar tu, dah biasa," katanya.