Kerajaan perlu mengurangkan dahulu jumlah ahli Kabinet sebelum memutuskan untuk mengecilkan saiz penjawat awam.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Selangor, Datuk Norazley Yahya berkata cadangan itu akan memberi kesan kepada prestasi kerja, sekali gus menyebabkan rakyat tidak akan mendapat manfaat yang sewajarnya.

"Kita kesal dengan cadangan kerajaan yang mahu jumlah penjawat awam di negara ini dikecilkan.

"Selepas sembilan bulan mentadbir kerajaan, rakyat dapat melihat majoriti menteri-menteri yang ada gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"Para menteri gagal menangani isu kos sara hidup yang masih tinggi, harga barang makin naik, harga komoditi pula turun.

"Bantuan yang selama ini dinikmati oleh rakyat pula satu persatu dimansuhkan atau dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu jumlah penjawat awam seramai 1.7 juta terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Tegasnya, jumlah berkenaan meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.

Dalam pada itu, kata Norazley, dalam keadaan ekonomi negara yang semakin merudum, pastinya penjawat awam yang bakal dipecat ini akan menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan lain.

"Lebih malang cadangan ini dikeluarkan selepas seminggu kerajaan meminta penjawat awam berpegang kepada prinsip taat setia terhadap kerajaan yang memerintah.

"Perkara ini bertentangan dengan jaminan Dr Mahathir beberapa hari selepas menang PRU14 lalu yang menegaskan jumlah penjawat awam tidak akan dikurangkan walapun berlaku penstrukturan semula kementerian seiring pertukaran kerajaan," jelasnya.

Pada Khamis, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
Datuk Azih Muda meminta Dr Mahathir mengekalkan jumlah penjawat awam sedia ada.

Katanya, saiz itu bertambah berbanding 17 tahun lalu seiring jumlah rakyat Malaysia yang semakin meningkat.