Mungkin ada betulnya pendapat Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong yang berasakan bahawa kerajaan ketika ini tidak perlu mengurangkan jumlah kakitangan awam tetapi perlu mengurangkan kos penggunaan sumber luar seperti pelantikan kontraktor swasta bagi menjayakan program-program kementerian kerajaan.

Jelas beliau kos yang membabitkan kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh adalah jauh lebih membebankan sedangkan sebahagian fungsi mereka boleh dilakukan oleh kakitangan kementerian dan jabatan itu sendiri.

Dengan mengambil contoh apa yang pernah dilakukan oleh kementeriannya sedikit masa lalu, ternyata ia bukan sahaja mampu memperlihatkan keupayaan dan kebolehan sebenar yang mampu dilakukan oleh kakitangan malah ia jauh menjimatkan kos.

“Seperti program Fit Malaysia yang pernah dianjurkan oleh KBS sebelum ini. Kita dapati sebahagian daripada program tersebut yang merangkumi program-program road show.

"Program awam pertama kami berlaku pada bulan Mac yang lalu.Program macam ini juga dilaksanakan oleh Menteri dahulu tapi apa bezanya?

"Bezanya ialah, program kita menggunakan sepenuhnya keupayaan penjawat awam KBS. Bulan lepas di Shah Alam lebih kurang 20,000 peserta di karnival dua hari. Kosnya dulu RM1.3 juta untuk satu program.

"Kali ini kita buat hanya menelan kos RM300,000 sahaja dan ia berjaya dan mendapat sambutan yang sama,” katanya ketika berucap pada program Sembang Kopi bersama Steven Sim di ibu negara pada Jumaat.

Kebanyakan penjawat awam sebelum ini katanya seakan gagal dimanfaatkan sebaik mungkin dan hanya seakan menjadi posmen sedangkan mereka mampu melakukan banyak tugas yang mungkin kerajaan sebelum ini tidak fikir mereka boleh.

Malah, Sim berkata, kementerian sebelum ini juga lebih gemar melantik atau mencipta kumpulan elit tertentu di dalam kementerian yang terdiri daripada mereka yang berkecimpung dalam sektor korporat yang tentunya dibayar dengan kos yang tinggi.

Ia membuatkan kebanyakan penjawat awam dipinggirkan daripada tugas-tugas yang sebenarnya mampu dilaksanakan mereka, katanya.