Jumlah kutipan denda daripada syarikat dan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijelaskan adalah sebanyak RM5,928,000.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan angka itu berdasarkan maklumat yang diperoleh dari Kementerian Kesihatan bagi tempoh Mac hingga Jun 2020.

"Pihak PDRM hanya mengeluarkan kompaun kepada individu dan juga syarikat atau premis sebanyak 11,379 kompaun.

"Seramai 21,420 individu yang ditangkap telah didakwa di mahkamah bagi tempoh 18 Mac sehingga 30 Jun," menurut KDN dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh).

Kerajaan telah mengisytiharkan PKP yang bermula pada 18 Mac dan seterusnya diikuti dengan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei sebelum digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Lanjutan daripada pengisytiharan itu, langkah-langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan PKP itu selain beberapa siri mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan bagi memperincikan pelaksanaan tersebut, menurut KDN.

-- BERNAMA