Prestasi kutipan kasar cukai langsung negara bagi 2018 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meningkat 11.13 peratus kepada RM137.035 bilion berbanding 2017, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pencapaian ini telah mencipta satu sejarah baharu dalam kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung yang direkodkan pada 2014 iaitu RM133.70 bilion.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayarcukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

"Selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap,Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang masih menggalakkan pada 2018," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) telah menyumbang kira-kira 85.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada 2018.

Komponen syarikat merupakan penyumbang terbesar iaitu 51.11 peratus, diikuti komponen individu (26.32 peratus), kutipan hasil cukai petroleum (14.66 peratus), kutipan duti setem (4.33 peratus), kutipan cukai pegangan (2.27 peratus), kutipan Cukai Keuntungan Harta Tanah (1.07 peratus), kutipan cukai koperasi (0.12 peratus) dan Labuan IOFC serta lain-lain cukai (0.12 peratus).

"Kerajaan komited untuk mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia dan bagi tujuan tersebut, Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) telah dilancarkan bermula 3 November 2018 dan akan tamat pada 30 Jun 2019 dengan menawarkan pengenaan kadar penalti yang sangat rendah iaitu 10 peratus dan 15 peratus.

"Sehubungan itu, kerajaan menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar segera mengambil peluang menyertai program ini bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu 80 peratus hingga 300 peratus apabila program ini tamat kelak," katanya.

-- BERNAMA