Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghubungkan lima platform tambahan daripada enam Institusi Pengurusan Dana (IPD) kepada i-Invest, kemudahan layan diri bagi ahli membuat pelaburan secara dalam talian.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata penambahan platform itu akan meningkatkan lagi fleksibiliti untuk ahlinya melaksanakan transaksi dalam talian di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA) dan selaras dengan objektif i-Invest.

Platform tambahan tersebut adalah Affin Hwang Asset Management Bhd, Kenanga Investors Bhd, RHB Asset Management Sdn Bhd (berkongsi platform dengan RHB Islamic International Management Berhad), Hong Leong Asset Management Bhd serta TA Investment Management Bhd.

"Ini menjadikan sejumlah 10 platform IPD di bawah i-Invest yang mana lima platform sebelum ini adalah daripada Amanah Saham Nasional Bhd, Eastspring Investments Bhd, Manulife Investment Management Bhd, Principal Asset Management Bhd dan Public Mutual Bhd.

"IPD yang tidak mempunyai platform sendiri akan menjalankan transaksi pelaburan di dalam i-Invest melalui dua Penasihat Institusi Unit Amanah (IUTA) yang dilantik iaitu iFAST Capital Sdn Bhd dan Phillip Mutual Bhd," katanya.

Setakat 30 April, 2020, i-Invest yang dilancarkan pada Ogos 2019 telah merekodkan lebih daripada 25,000 transaksi dengan nilai keseluruhannya sebanyak RM219.3 juta.

"Ia juga membolehkan ahli membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, melihat kesemua pegangan pelaburan mereka dan mendapatkan maklumat berkaitan kos pelaburan, prestasi dana serta sebarang maklumat berkaitan," katanya.

KWSP juga menetapkan kawal selia bagi IPD berdasarkan garis panduan SPA KWSP yang dikeluarkan bagi memelihara integriti SPA serta kepentingan ahli yang menyertainya serta memastikan IPD menjalankan tanggung jawab secara beretika dan cekap.

"Bermula 1 Mei, 2020, ahli yang membuat pelaburan melalui i-Invest tidak akan dikenakan caj jualan permulaan oleh IPD bagi tempoh 12 bulan. Ini bagi membolehkan ahli mempelbagaikan portfolio persaraan mereka pada kos lebih rendah," katanya.

-- BERNAMA