Polis Johor menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak perempuan yang disyaki dilacur ibu mereka di sini, 25 Okt lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata dua daripada suspek merupakan lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun yang ditahan di Kulai dan Johor Bahru, petang Selasa.

Seorang lagi pula adalah lelaki tempatan berusia 48 tahun yang merupakan majikan kepada kedua-dua warga Bangladesh berkenaan, katanya.

"Dia (lelaki tempatan) ditahan di kawasan Kulai hari ini kira-kira 1.30 petang dan akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen. Permohonan perintah reman terhadapnya sedang dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurut Mohd Khalil, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah tangkapan setakat ini adalah lapan orang termasuk tujuh warga Bangladesh.

Lima daripada warga Bangladesh itu yang kesemua pekerja kilang berumur 28 hingga 42 tahun sebelum itu, ditahan di kawasan Senai pada Selasa.

Mohd Khalil berkata pihaknya juga sudah mengenal pasti suspek utama dan sedang berusaha mengesannya.

Pada 25 Okt lepas, bertindak atas maklumat orang awam, polis telah menahan seorang wanita berusia 39 tahun kerana disyaki melacurkan dua anak perempuannya yang berumur lapan dan 10 tahun kepada tiga lelaki asing di sebuah hotel bajet di bandar raya ini.

Wanita yang merupakan ibu tunggal itu yang ditahan di rumahnya di Taman Bintang, Senai, dekat Kulai, disyaki telah melakukan kegiatan itu sejak sebulan lepas.

Dia akan membawa kedua-dua anaknya itu ke hotel terbabit setiap Jumaat dan meninggalkan mangsa bersama tiga lelaki berkenaan dan sebagai balasan, wanita itu akan menerima bayaran berjumlah RM50 setiap kali menjalankan 'urus niaga' itu.

Kedua-dua mangsa telah pun dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

-- BERNAMA