Semua pihak perlu bersatu bagi mengembalikan Pantai Chenang sebagai satu destinasi pelancongan tarikan dunia pasca COVID-19.

Lokasi yang satu ketika dahulu menjadi tumpuan pelbagai kegiatan sukan air menjadi lengang dan sunyi tanpa kehadiran pelancong atau sebarang aktiviti.

Tiada lagi hiruk-pikuk pelancong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang dilaksana sejak 18 Mac lepas.

Walaupun Langkawi sudah dikategorikan sebagai ‘zon hijau’ susulan pesakit terakhir COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Maliha, tetapi sektor pelancongan masih tidak dapat ‘bergerak’ dalam tempoh PKP ini.

Pantai Chenang boleh dijadikan gambaran terbaik kepada situasi dihadapi industri pelancongan Langkawi yang begitu terkesan susulan penularan wabak itu.

Pantai Chenang
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan, wabak COVID-19 memberi impak besar kepada hampir semua penduduknya, bukan sahaja dari sektor pelancongan, malah ekonomi.

Dalam situasi COVID-19 yang mengancam seluruh dunia ketika ini, beliau tidak menjangkakan ketibaan pelancong antarabangsa akan pulih dalam tempoh tiga atau enam bulan terdekat.

Oleh itu, Dr Hezri berkata LADA sedang mengumpul maklum balas pemain industri untuk mencari kaedah terbaik menerusi pengenalan pakej menarik yang boleh ditawarkan kepada pelancong domestik.

Deretan kedai dan hotel di Jalan Pantai Chenang.
"Pada masa ini, fokus adalah untuk membangunkan semula pasaran domestik dengan lebih rancak.

"Keduanya kemahiran perlu kita bekalkan semula kepada pemain Industri supaya apabila pelancong balik ke Langkawi, mereka lihat kualiti servis itu lebih baik daripada dahulu dan ini akan membuatkan lebih banyak repeat visitors.

"Untuk itu, kita akan adakan beberapa siri latihan untuk sekitar 200 travel agent di Langkawi," kata Hezri.

Jelasnya, industri pelancongan menyumbang 60 peratus kepada ekonomi pulau bebas cukai ini. Jadi apabila kehadiran pelancong merudum, situasi menjadi sangat mendesak.

Tambahnya, terdapat kira-kira 150 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), namun sekiranya tiada pelancong datang ia akan memberi risiko pengangguran.