Masih ada saki-baki kumpulan warga asing yang jalankan kerja 'haram' dalam talian.

Sejumlah 32 warganegara China termasuk dua wanita berjaya ditahan, dipercayai menjalankan aktiviti dalam talian di sebuah premis tiga tingkat di Bandar Meru Raya, di sini, pada Isnin.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Kamalludin Ismail, kesemua mereka sedang leka semasa serbuan dilakukan pada petang Isnin.

Malah menurutnya, ada antara mereka cuba melarikan diri dengan melompat pagar rumah tersebut, namun berjaya dikepung oleh pegawai yang terlibat dalam operasi itu.

BACA:

BACA:

"Seramai 28 Pegawai Operasi Bahagian Penguatkuasa Ipoh, terlibat dengan operasi ini. Operasi yang bermula jam 4.30 petang dan berakhir pada jam 6 petang.

"Seramai 32 warganegara China termasuk dua wanita diperiksa dan ditahan. Turut ditahan ialah seorang lelaki warganegara Malaysia. Kesemua suspek berusia di antara 18 tahun hingga 41 tahun itu disyaki menjalankan aktiviti atas talian.

"Hasil serbuan ke atas premis terbabit, JIM Perak telah merampas sebanyak 37 komputer riba, 66 unit telefon bimbit, 1 buah modem internet dan 1 unit router, 71 keping kad ATM pelbagai jenis bank, 21 kad pengenalan diri China, 1 mesin pembaca ATM/kad debit dan 7 kad SIM baharu.

"Turut dirampas ialah matawang asing seperti mata wang ringgit Malaysia, Yuan, Peso, Hong Kong, doalr Amerika dan Euro," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamalludin menambah, JIM Perak telah berjaya menahan seramai 137 orang warganegara China yang disyaki lakukan aktiviti atas talian, menerusi operasi itu pada 9,11 dan 16 Disember lalu.

BACA: Sindiket aktiviti dalam talian: Lagi warga China diberkas

BACA: Polis Perak tumpas sindiket judi warga China

Katanya lagi, siasatan awal mendapati bahawa kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(b), kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi warga asing tanpa pas yang sah.

"Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut. JIM Perak akan terus mengesan dalang kepada aktiviti ini. Pemantauan dan operasi secara berterusan akan terus dijalankan," ujarnya.

BACA: Jenayah dalam talian: 152 warga China, seorang Bangladesh didakwa