Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya berhenti menghentam bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Muhyiddin, tindakan sedemikian hanya mengakibatkan kedudukan Barisan Nasional (BN) menjadi semakin lemah.

"Lagi anda hentam lagi populariti beliau melonjak sehingga mencecah bumbung dan kedudukan kita pula jatuh," kata Muhyiddin semasa ucapan penggulungan mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad malam.

"Saya setuju Dr Mahathir ibarat bapa kita, beliau bekas perdana menteri ada banyak idea," ujar Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Tambahnya, Tun Dr Mahathir yang bersikap kritikal dan lantang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerana beliau menyayangi Najib.

"Dia (Dr Mahathir) bimbang dengan kedudukan Najib sebab dia sayang Najib...pasal mengenang sejarah Tun (Abdul) Razak (Hussein)."

"Dia hanya beri pandangan dan saya tak fikir ia melampau," kata Muhyiddin.

Beliau turut menyarankan supaya laporan awal 1MDB dijadikan dokumen awam.

Katanya langkah itu perlu agar masyarakat memahami apa yang disebalik kontroversi syarikat tersebut.

Muhyiddin mengakui beliau sendiri sukar memahami apa yang sebenarnya berlaku, dan kini tertanya-tanya mengenai sumber mana yang boleh dipercayai sekiranya laporan The Edge tidak boleh dipercayai.

"Orang cakap dekat saya laporan The Edge tidak betul, jadi beritahu saya apa yang betul, tidak juga diberitahu sampai sekarang," kata Muhyiddin.

BACA: Sorotan seminggu isu 1MDB

Di majlis sama, Timbalan Presiden UMNO itu turut meluahkan pandangan bahawa sekiranya pilihan raya umum diadakan esok, Barisan Nasional akan kalah.

Muhyiddin menyatakan kebimbangan itu berdasarkan maklum balas masyarakat di peringkat akar umbi.

"Kalau ikut kata hati saya, kalau esok pilihan raya, kita tak mungkin boleh menang. Sudah ada asas-asas kajian yang dibuat banyak pihak yang menunjukkan adalah amat sukar untuk Barisan Nasional menang.

"Saya tanya bagaimana kalau perdana menteri bubar Parlimen adakah kita akan menang atau tidak, tidak ada seorang pun yang menjawab yakin untuk menang," kata Muhyiddin.