KUALA LUMPUR :Satu lagi laporan polis dibuat bagi menggesa polis menyiasat penglibatan pemimpin parti politik yang dipercayai bersubahat dalam kartel import daging sejuk beku untuk terus menguasai pasaran daging tempatan.

Ketua Penerangan Gerak Ekonomi Anak Melayu Keramat, Zulhafiz Abu Hanafiah menerusi satu kenyataan berkata, situasi itu sekali gus menghalang tertubuhnya National Feedlot Corporation (NFC) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu menyelesaikan kemelut industri makanan negara.

“Kami lakukan ini atas rasa tanggungjawab dan prihatin untuk menyelesaikan rasa kecewa dan gundah-gulana umat Islam di negara ini semenjak tercetusnya berita kes kartel import daging haram yang dikatakan berlaku di Senai, Johor baru-baru ini,” katanya.

BACA: Kartel daging: NFC hanya sensasi politik - Khairuddin

Tambahnya, isu itu mendapat perhatian dan menggemparkan negara, justeru dia berharap semua pihak bekerjasama dalam memastikan isu tersebut dapat menemui penyelesaian yang tuntas.

BACA: Kartel daging: Apa yang kita tahu setakat ini

Astro AWANI pada Rabu melaporkan gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah antara langkah terbaik bagi menyiasat isu tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan semalam berkata usaha dan hasrat yang murni ini telah dipersetujui dengan pihak terlibat dan dilihat penting demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.


Kartel Daging: Syarikat disyaki terlibat kartel daging haram didakwa hari ini

Terdahulu di Dewan Negara, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid mengumumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Jelas Rosol, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menyambut baik hasrat KPDNHEP untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).