Sebanyak 57 buah sekolah yang ditutup di Lahad Datu dan Semporna kesan pencerobohan Sulu boleh memohon penangguhan pembukaan persekolahan yang akan mula dibuka hari ini.

Permohonan itu dibenarkan jika majoriti guru di sekolah itu berasa trauma berikutan insiden pencerobohan di negeri itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ia boleh dibuat menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Malaysia (JPM).

“Saya difahamkan ada di kalangan guru sebagai contoh yang mengajar di sekolah Pulau Bumbung, kebanyakan daripada mereka menyewa rumah di pekan Semporna jadi mereka bimbang kalau mereka menaiki bot mereka takut berlakunya kejadian yang tidak diingini semasa mereka di Sekolah Pulau Bumbung sebab itu mereka jadi trauma sebab jeti dekat dengan kampung kejadian tembak menembak. Sekiranya majoriti tidak berani mengajar, maka pihak sekolah boleh berbincang dgn PPD dan JPM untuk menangguhkan sesi persekolahan tetapi dengan syarat cuti berganti.”

Beliau berkata demikian ketika sidang media gotong royong dan majlis pelantikan penasihat kolej di Kolej Komuniti Batu Pahat.

Namun katanya, pihak sekolah perlu menggantikan cuti selepas penangguhan pembukaan sesi persekolahan.

Dalam pada itu, Puad memaklumkan, beberapa anggota keselamatan akan diletakkan di sekolah terlibat bagi mengawal keselamatan guru dan murid.

Dalam perkembangan sama, kementeriannya telah menghantar lima pakar kaunselor untuk memberikan kaunseling kepada guru-guru terlibat.

Sehingga kini 355 guru dari lapan buah sekolah di Lahad Datu telah diberi kaunseling manakala selebihnya dalam proses kaunseling.