Tutup

Lakon watak doktor dalam 'Darah Satria' kenangan manis buat Amir

Lakon watak doktor dalam 'Darah Satria' kenangan manis buat Amir
Amir (kiri) menunjukkan pingat dan gambar kenangan kepada sahabatnya Ahmad Ibrahim, 72, yang juga pesara tentera ketika ditemui Bernama di Taman Saujana, Pontian, baru-baru ini. --fotoBERNAMA
PONTIAN: Melakonkan watak doktor dalam filem "Darah Satria" adalah antara detik manis bagi pesara, Amir Yusol, ketika mengimbau kembali saat berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau yang berkhidmat sebagai pembantu perubatan dalam Kor Perubatan di Kem Terendak, Melaka, ketika itu dipanggil pegawai atasannya dan ditanya jika beliau berminat untuk berlakon.
"Pegawai panggil saya dan tanya nak berlakon ke tidak. Lepas tu, saya berjumpa pengarah filem itu, (Allahyarham) Aziz Sattar dan lepas dia lihat saya, dia kata boleh berlakon.

"Yang lucunya, saya pinjam baju doktor itu, milik pegawai atasan saya. Saya muncul pun tidak lama, cuma pada babak akhir ketika Aman Shah (pelakon utama) terlantar di hospital," katanya sambil tersenyum ketika mengimbas kembali kenangan manis itu.
Filem Darah Satria yang diterbitkan pada 1983 itu, merupakan filem berkisarkan perjuangan anggota dan pegawai di Regimen Askar Melayu Diraja yang bertugas di hutan untuk melawan komunis, dibintangi oleh Aman Shah, AR Badul dan Lidyawati.


Saya selalu nasihat anak-anak muda di kampung, sertailah tentera sebagai khidmat kepada negara


Beliau turut mengimbas kembali kenangan terpaksa meninggalkan isteri dan anak sulungnya yang baru berumur seminggu ketika itu, selepas diarahkan bertugas dalam satu operasi di kem tentera di Kuching, Sarawak, pada tahun 70an.

Meskipun tidak berkhidmat di barisan hadapan, Amir berkata beliau juga menghadapi risiko kerana turut serta dalam operasi memburu "bandit" (gelaran askar untuk komunis) sebagai anggota sokongan iaitu pembantu perubatan.

"Pernah sekali saya dan dua kawan yang lain, nyaris terkorban kerana hampir melanggar wayar jerangkap samar yang dipasang komunis di laluan di hutan tempat kami lalui," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Amir menunjukkan gambarnya ketika berlakon sebagai doktor dalam filem Darah Satria ketika ditemui bernama di Taman Saujana baru-baru ini. --fotoBERNAMA

Warga emas berusia 70 tahun itu turut menyifatkan darah mudanya ketika itu membuak-buak untuk melawan komunis ditambah dengan semangat yang kental untuk melawan musuh negara.

Temubual terhenti apabila beliau terkenang seorang rakannya yang terkorban akibat serangan komunis ketika bertugas.

Untuk mengesan komunis ketika itu sedikit susah memandangkan komunis sangat licik dan pandai menyamar menjadi orang awam menyebabkan operasi memburu musuh negara ketika itu dilihat satu cabaran hebat.

Menyifatkan berkhidmat sebagai tentera merupakan satu kerjaya yang murni, beliau turut berasa bangga kerana salah seorang anaknya turut mengikuti jejaknya menjadi anggota tentera, yang kini berkhidmat sebagai Korporal di Kem 8 Rejimen Askar Melayu Di Raja, Kuala Lipis, Pahang.

"Saya selalu nasihat anak-anak muda di kampung, sertailah tentera sebagai khidmat kepada negara," katanya.


Pernah saya dan kawan nyaris terkorban kerana hampir melanggar wayar jerangkap samar yang dipasang komunis


Penerima Pingat Jasa Malaysia itu juga mahu anak-anak muda turut memahami dan menyelami sejarah negara terutama bagaimana kemerdekaan boleh dikecapi.

"Ingatlah bagaimana datuk nenek moyang kita dulu, bukan senang nak merdeka, bukan senang nak jadikan tanahair kita merdeka dulu. Mereka berkorban, keluarkan duit, barang kemas kepada (Perdana Menteri Pertama) Tunku Abdul Rahman sebagai tambang ke England untuk memohon kemerdekaan.

"Jadi kena ingatlah sejarah itu, janganlah kita mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah berunsur negatif sekarang ini (yang boleh menganggu gugat keamanan), itu saja yang saya minta," tambahnya yang bersara jawatan Staff Sarjan pada tahun 1991.

-- BERNAMA