Kementerian Kesihatan Kedah akan membenarkan pengusaha laksa kebok memulakan perniagaan kembali dalam masa terdekat ini sekiranya ia didapati mematuhi piawaian penyediaan makanan yang bersih.

Pengarah Kesihatannya, Datuk Dr Norhizan Ismail memaklumkan sebelum beroperasi pengusaha laksa kebok berkenaan dibenarkan untuk beroperasi semula Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Baling akan melakukan pemeriksaan di premis berkenaan untuk mengelak dari perkara tidak diingini dari berlaku.

“Janji apa yang kita suruh dia buat tu dia akan laksanakan, jadi kita tidak ada masalah kalau kita pergi siasat balik apa yang kita dah buat. Jika kita berpuas hati kita tidak akan menghalangnya untuk berniaga,” kata Dr Norhizan kepada pemberita Astro AWANI ketika ditemui di sini, hari ini.

INFOGRAFIK: Hati-hati dengan bakteria Salmonella


Menurutnya, prosedur berkenaan penting selepas pihak Kementerian memperoleh keputusan sampel dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang dan penemuan agen penyebab keracunan makanan iaitu bakteria salmonella dalam mi laksa.

Kini, Jabatan Kesihatan Daerah Baling dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang melengkapkan kertas siasatan kes mengikut prosedur ditetapkan untuk tindakan selanjutnya..

Terdahulu, Norhizan mengadakan pemeriksaan ke atas premis penjualan arak di sekitar daerah Sungai Petani, siang tadi.

Dalam kejadian 8 Oktober lalu, dua mangsa meninggal dunia dipercayai selepas memakan laksa kebok yang dibeli di Kupang, Baling.

Sejumlah 83 kes dilaporkan melibatkan 34 kes di Perak termasuk dua kes kematian, 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor.