Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mencadangkan pendaftaran pengundi secara dalam talian diperkenalkan sebagai antara inisiatif reformasi terhadap pelaksanaan pilihan raya di Malaysia.

Ketika membuat saranan tersebut pada satu wacana reformasi pilihan raya di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, Abdul Aziz yang menerajui SPR dari 2008 hingga 2016 berkata pendaftaran dalam talian akan meningkatkan bilangan pengundi berdaftar terutamanya orang muda.

"Saranan ini seiring dengan perubahan masa dan teknologi yang mana jika dilaksanakan mampu menarik dan memudahkan semua orang untuk berdaftar terutamanya anak muda," katanya ketika menjadi panel pada Wacana Intelektual Reformasi Pilihan Raya: Impak Terhadap Demokrasi di Malaysia.

Menurutnya, kaedah itu berupaya menarik minat 4.5 juta generasi muda yang belum berdaftar untuk mendaftar sebagai pengundi, pertambahan ketara daripada 1.5 juta yang diunjurkan menjadi pengundi baharu setelah had umur asal 21 tahun yang layak memilih diturunkan kepada 18 tahun.

Abdul Aziz berkata kaedah itu bagaimanapun memerlukan pindaan undang-undang memandangkan ketika ini perlembagaan menetapkan pendaftaran pengundi perlu diisi di atas borang yang boleh dipegang dan perlu dihantar kepada SPR untuk pengesahan.

Abdul Aziz, yang berpengalaman mengendalikan satu pilihan raya umum dan 26 pilihan raya kecil, pada forum itu turut mencadangkan mengenai penggunaan kaedah biometrik bagi menggantikan dakwat kekal serta pelaksanaan pengundi boleh mengundi bukan di lokasi spesifik.

Mengenai penggunaan biometrik, beliau berkata kaedah itu diyakini lebih efisien dalam mengatasi isu pengundi berulang atau mengundi dua kali walaupun saranannya itu 'dihentam' hebat parti-parti politik dan badan bukan kerajaan sebelum ini.

Berhubung saranan pengundi boleh mengundi di mana sahaja, Abdul Aziz berkata SPR boleh merujuk kepada kaedah pemilikan nombor pendaftaran kereta di mana pembeli boleh membeli plat kereta 'sesebuah negeri' tanpa perlu ke negeri tersebut.

"Kaedah ini akan memudahkan pengundi yang bekerja atau tinggal jauh untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab kepada negara tanpa dibebankan dengan faktor jarak dan kos perjalanan," katanya.

Abdul Aziz berkata walaupun saranan-saranan tersebut mempunyai risiko seperti penipuan namun jika dilaksanakan dengan kajian terperinci ia berupaya membawa perubahan yang diharapkan dalam sistem pilihan raya di negara ini.