KUALA LUMPUR :Kerajaan perlu melaksanakan sekatan perjalanan keluar dan masuk negeri Sabah susulan kes jangkitan COVID-19 dikesan di Semenanjung Malaysia yang berasal dari negeri itu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pola jangkitan COVID-19 yang terus meningkat di Negeri Di Bawah Bayu itu mendorong langkah itu perlu diambil segera.

"Saya berpendapat pada masa ini, sekatan perjalanan perlu dilaksanakan untuk individu di Sabah untuk keluar serta mereka di luar Sabah perlu dilarang untuk masuk ke negeri itu," katanya kepada Astro Awani.

Beliau mengulas mengenai kes baharu jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat di Sabah dengan pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 124 kes daripada 150 dikesan di Sabah.

Dalam masa yang sama terdapat beberapa kes baharu COVID-19 di Semenanjung juga dikesan daripada individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Mengulas lanjut, Malina berkata kerajaan perlu segera melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan yang dikesan mempunyai kluster.

"Terbaharu (semalam), jumlah kes baru ialah 150 dengan jumlah kes aktif hampir 1,000 orang (950) dan analisa data yang ada, didapati semasa PKP mula dilaksanakan di seluruh negara pada 18 Mac lalu, jumlah kes baru yang dilaporkan pada masa itu ialah 117 dengan sejumlah 728 kes aktif.

"Situasi ketika itu juga dicetuskan oleh kebimbangan terhadap beberapa kluster yang telah berlaku namun sukar dijalankan pengesanan kontak secara berkesan.

"Situasi semasa di Sabah dengan mengambil kira impak ekonomi perlu dinilai dengan teliti sebelum keputusan PKP dilaksanakan secara keseluruhan negeri," jelasnya.