Kerajaan Negeri Sarawak bakal membuka laluan dari Badau, Indonesia ke Lubok Antu terus ke hab industri di Tanjung Manis dalam usaha memperkasa ekonomi kedua-dua negara.

Mengumumkan cadangan itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg menjelaskan pelan berkenaan tersenarai dalam pembangunan jangka panjang negeri itu.

"Perancangan ini diharap dapat menjadi pemangkin ekonomi kedua-dua negara serta mewujudkan budaya perniagaan serta perusahaan rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Budaya Sarawak bagi menghargai Konsul Jeneral Indonesia di Kuching Jahar Gultom yang bakal berpindah tugas ke negara lain.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari turut menggambarkan laluan itu bakal mengubah lanskap ekonomi Indonesia-Malaysia di samping menjadi peluang kepada kedua-dua negara untuk saling melengkapi aspek ekonomi sosial.

Dalam pada itu, beliau juga memgumumkan status naik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu yang masih dalam proses awal pembinaan.

Sebelum ini projek pintu masuk Sarawak yang menelan kos RM500 juta itu dipersetujui dibiayai Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Bagaimanapun, kita tetap menunggu status terkini perkembangan projek berkenaan. Cuma kerajaan negeri akan mengambil alih sepenuhnya serta meneruskan pembinaan kompleks berkenaan jika kerajaan baharu tidak mahu menyambungnya," katanya.