Laluan basikal sejauh 11 kilometer yang diwujudkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Kumpur (DBKL) awal tahun ini antara lain bermatlamat memupuk kegiatan berbasikal dalam kalangan warga kota, namun usaha itu nampaknya tidak dihargai pengguna jalan raya lain.

Selain penunggang motosikal yang berterusan menyalahgunakan laluan itu, pemandu kenderaan juga tidak ketinggalan apabila meletak kenderaan mereka di atas laluan berkenaan, sekali gus menghalang penunggang basikal.

Walaupun DBKL melaksanakan pelbagai langkah untuk mendidik masyarakat berhubung pelaksanaan laluan basikal itu termasuk menempatkan pasukan penguat kuasa, pengguna kenderaan lain terus tegar dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka.

Seorang pengguna yang aktif berbasikal sejak empat tahun lalu, Mohd Almy Rahul Moideen, 42, berkata laluan bercat biru itu belum boleh dianggap mesra basikal selagi aspek-aspek tersebut tidak ditangani.

"Banyak (kes) berlaku apabila pemandu kenderaan sering menggunakan alasan 'parking sekejap' dan tunggu orang untuk meletakkan kenderaan di atas laluan basikal terbabit dan ini menjadi pemandangan biasa bagi saya," kata pengurus projek itu kepada Bernama.

BACA: Laluan khas basikal, tetapi akhirnya penunggang motosikal yang guna?

Sehubungan itu, beliau mahu DBKL meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan selain meletakkan lebih banyak peringatan serta iklan visual bagi menimbulkan kesedaran orang ramai.

Peniaga kedai alatan basikal, Mohd Sharifudin Ibrahim, 45, turut meluahkan pandangan sama dan meminta pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk mengubah penetapan minda masyarakat agar menjadi warga berhemah dan prihatin.

"Selain itu, lampu isyarat bagi penunggang basikal juga perlu diwujudkan di kawasan-kawasan sibuk di samping menambah jumlah perkhidmatan basikal sewa secara digital seperti yang dibuat di China dan Taiwan.

"Jika aspek keselesaan dan keselamatan ini dipertingkat, berkemungkinan jumlah penunggang basikal di kota akan meningkat," katanya yang aktif berbasikal sejak 25 tahun lalu.

Baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata DBKL akan mengaudit semula laluan basikal bernilai RM4 juta yang kini dalam tempoh percubaan selama dua bulan bagi mendapatkan maklum balas daripada orang awam.

-- BERNAMA