Kerajaan Perak memberi jaminan bahawa Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang dikatakan berlaku runtuhan cerun, selamat untuk dilalui oleh pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, gambar yang ditular di laman sosial, kononnya berlaku runtuhan di Jalan Persekutuan FT 185 Simpang adalah gambar lama yang disebarkan semula.

Mohd Zolkafly berkata beliau bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Roslan Abd Ghani sempat meninjau kawasan tersebut selepas melihat gambar-gambar yang ditularkan.

“Kerajaan negeri dengan ini memberi jaminan bahawa Jalan Persekutuan FT 185 Simpang Pulai-Cameron Highlands adalah selamat digunakan.

“Kerajaan negeri melalui agensi teknikal seperti JKR akan terus memantau secara mendalam berkenaan keadaan cerun tersebut.

“Pihak kerajaan negeri Perak juga berharap rakyat untuk lebih bertanggungjawab, (dan) tidak menular gambar-gambar atau berita tidak benar yang akan menimbulkan keresahan yang tidak sepatutnya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya, di sini pada Rabu.

Menurutnya, memang terdapat runtuhan kecil yang berpunca daripada hakisan air hujan dan bentuk muka bumi yang berbukit, tetapi keadaan tersebut tidak seteruk seperti yang ditularkan.

Jelas Mohd Zolkafly, kerja-kerja penambahbaikan cerun sudahpun dijalankan iaitu membabitkan kerja-kerja 'tie back wall' dan 'micropile slab' sejak beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan membuat permohonan sebanyak RM120 juta untuk membaiki cerun berkenaan, sekali gus memastikan ia disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas ((RMK-12).