Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya Laut China Selatan kekal bebas daripada sebarang ancaman ketenteraan.

Menurut Perdana Menteri, laluan perdagangan itu bukan sahaja penting kepada Malaysia, tetapi juga kepada anggota negara ASEAN yang lain termasuk China.

"Sehingga kini, China tidak menghalang mana-mana kapal melalui dua laut ini. Buat masa ini, walaupun ada kapal perang di kawasan ini, tapi ia bukan sekumpulan armada dengan tujuan untuk menyerang mana-mana negara.

"Laut China Selatan ketika ini lebih selamat kerana ia laluan untuk ulang alik ke China," katanya pada sesi dialog di Royal University of Phnom Penh (RUPP) sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Kemboja yang bermula Isnin.

Dr Mahathir berkata, laluan perdagangan itu amat penting buat China sekali gus memaksa republik itu memastikan pelayaran bebas di kawasan berkenaan.

"China perlu laluan di Laut China Selatan dan Selat Melaka. China perlu pastikan pelayaran bebas melalui dua laut tersebut kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada China tetapi juga negara ASEAN yang lain," katanya.

Beliau pada masa sama menyifatkan, dakwaan China bahawa kawasan tersebut milik mereka, hanyalah satu dakwaan.

"China mendakwa bahawa Laut China Selatan adalah milik mereka. Itu dakwaan China.

"Tapi apa yang penting adalah wujud atau tidak pelayaran bebas di lautan melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan," kata Perdana Menteri lagi.