SEBUAH laman web yang menjadi sebutan sejak kebelakangan ini, siapakenahack.com, bukanlah berfungsi seperti mana yang disangka ramai.

Laman web itu, sebelum ini dikatakan sebuah laman web yang berupaya mengesan jika berlaku sebarang kebocoran maklumat peribadi, melalui nombor telefon yang dimasukkan.

Namun, pemeriksaan di laman web itu mendapati, ia diwujudkan memberi kesedaran kepada orang awam untuk tidak sewenang-wenangnya mempercayai mana-mana laman web sedemikian.

Sebaik sahaja satu nombor telefon dimasukkan, pelayar akan dibawa ke satu page, yang mana penerangan tentang laman web itu diperjelaskan oleh perekanya.

Menurut pereka laman siapakenahack.com, CF Fong, dia tidak berniat memperdayakan sesiapa sebaliknya mahu masyarakat lebih peka tentang bahaya phishing atas talian.

"Jika anda merasakan maklumat peribadi anda berada dalam senarai pangkalan data bocor, anda perlu menghubungi syarikat pembekal telekomunikasi anda, dan bukannya dengan memasukkan nombor di mana-mana laman web," jelas Fong.

Fong juga sempat menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dan mempunyai sikap 'bersangka buruk' apabila diminta memuat naik atau meletakkan apa sahaja maklumat peribadi oleh mana-mana pihak menerusi perkhidmatan atas talian.