Landasan 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang akan ditutup selama sebulan untuk kerja-kerja penyelenggaraan landasan secara menyeluruh bermula 11 Mei 2018.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata landasan akan ditutup sehingga 7 Jun bagi kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan Pelan Induk Kemampanan Landasan.

Beliau berkata dalam satu kenyataan pada Khamis bahawa kira-kira enam peratus daripada pergerakan penerbangan harian dijangka terjejas akibat penutupan landasan.

"Skop kerja melibatkan kerja-kerja 'overlaying' dan kerja pengembalian semula insfrastruktur termasuk saliran dan kerja-kerja tanah," kata beliau dan menambah ia sebahagian daripada tanggungjawab MAHB sebagai pengendali lapangan terbang untuk memastikan kemampanan dan keselamatan semua landasan lapangan terbang di bawah pengurusannya.

Badlisham berkata semua syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA komited untuk memastikan sebarang kesulitan kepada penumpang dapat diatasi dengan memberikan pemberitahuan awal mengenai sebarang perubahan dalam jadual penerbangan.

"Penumpang dinasihatkan untuk menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing mengenai jadual penerbangan mereka," kata beliau.

-- BERNAMA