Landasan 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditutup dari 5 petang hingga 8 malam ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan segera sebagai sebahagian prosedur keselamatan.

Dalam satu kenyataan di sini, operator lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan rakan kongsi bagi memastikan penutupan itu tidak membawa impak besar kepada operasi penerbangan.

"Kami jangka impak minimum terhadap operasi penerbangan dan tiada penangguhan penerbangan besar-besaran disebabkan penutupan ini," kata MAHB dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya.

Ini merupakan kali kedua landasan tersebut ditutup untuk penyelenggaraan pada tahun ini. Kali pertama pada 13 Jan lalu.

MAHB berkata KLIA mempunyai dua lagi landasan yang mampu menampung operasi syarikat penerbangan sekiranya berlaku penutupan sementara satu daripada landasan terbabit.

Pada masa sama MAHB menasihati penumpang agar menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.

-- BERNAMA