Sejumlah 15 individu ditahan polis ketika leka berhibur di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, di sini, malam tadi.

Kesemua mereka ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata ketika serbuan, 14 daripada mereka dipercayai pelanggan yang sedang berhibur di dalam premis berkenaan.

Turut ditahan seorang lagi individu dipercayai penjaga premis berusia 40-an bagi membantu siasatan.

Menurut Sapii, premis itu berkunci dari luar dan hanya beroperasi untuk pelanggan tertentu sahaja bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

Sapii berkata, kesemua pelanggan yang ditahan berusia di antara 20-an dan 30-an.

Hasil siasatan mendapati dua daripada pelanggan itu pernah ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati 11 daripadanya positif dadah.

Polis turut merampas set peralatan karaoke di premis dalam serbuan itu.

Kesemua yang ditahan gagal memberi penjelasan munasabah tujuan menyertai perhimpunan aktiviti sosial dan didapati melanggar peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan.

Kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.