Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyambut baik pengumuman Kementerian Dalam Negeri bahawa bermula 2 Mei 2019, semua permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata ia antara lain dapat membantu pihaknya membanteras amalan menggunakan alamat palsu atau alamat pihak ketiga untuk mendaftar sebagai pemilih dan mengeluarkan daftar pemilih yang tepat dan diyakini.

"SPR berpendapat bahawa langkah tersebut amatlah wajar dan akan membantu usaha SPR untuk memastikan bahawa alamat seseorang pendaftar yang digunakan oleh beliau di dalam daftar pemilih merupakan alamat yang benar.

"Ia juga akan membantu membanteras apa-apa tindakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemilih di sesebuah kawasan ataupun memindahkan pengundi ke mana-mana kawasan dengan menggunakan alamat palsu ataupun alamat kediaman pihak ketiga," katanya.

Tambah Azhar, langkah tersebut dengan secara langsung akan dapat membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintegriti dan diyakini, khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat mastautin.

Pada Jumaat, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata, bermula 2 Mei, permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan bagi mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan.

Azhar berkata, dokumen sokongan seperti bil eletrik, bil pembentungan, bil utiliti, cukai pintu, perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah dan lain-lain dokumen boleh membuktikan pemohon telah menetap di satu-satu alamat.

SPR, katanya, menyambut baik dan amat berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung langkah yang diambil itu.