Prospek ekonomi Malaysia diramal suram pasca pandemik Covid-19 dengan 93 peratus syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka berdepan perniagaan tidak stabil dalam tempoh enam bulan.

Perkara tersebut turut disandarkan oleh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mana, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan selepas krisis tersebut dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Mendapat respond berhubung perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Noor Azmi Mat Said berkata, krisis COVID-19 itu merupakan sesuatu yang tidak dijangka dan rata-rata PKS tidak bersedia menghadapi situasi seperti ini.

“Ia perkara yang tidak dijangka sama sekali, namun tidak hanya di Malaysia sebaliknya dunia secara amnya terkesan dengan penularan wabak ini. Senario ini turut bergantung kepada keberkesanan tindakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pada awalnya, kami melihat tahun 2020 sebagai lembaran baharu kepada industri PKS selain menjangkakan ia kembali pulih setelah mencatatkan pencapaian kurang sihat pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Usahawan diminta menjadi lebih kreatif dan proaktif mencari pendekatan perniagaan baharu dan berubah kearah pendigitalan.

Ketika ini, negara mempunyai sebanyak 907,000 PKS dan usahawan tempatan. Kerajaan sebelum ini turut menyasarkan sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 50 peratus menjelang 2030.

Menurut Noor Azmi, krisis COVID-19 ini sekali gus memberi impak langsung kepada PKS khususnya dalam aspek aliran tunai, malah kajian awal turut menunjukkan syarikat-syarikat kategori ini bertahan kurang daripada tempoh tiga bulan untuk membantu mereka terus berdaya saing.

Beliau turut menyarankan agar syarikat PKS mendapatkan apa sahaja peluang dalam tawaran pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat diumumkan kerajaan selain sifar kadar faedah menerusi Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

“Kami menasihatkan agar PKS melihat semula model perniagaan mereka agar selari dan relevan dengan mengadaptasi situasi semasa yang berlaku ketika ini. Malah, tawaran produk juga wajar mengambil kira bajet baharu pelanggan ketika dan selepas PKP.

“Usahawan juga perlu bijak mencari pendekatan dan berubah kearah pendigitalan perniagaan mereka selain merebut peluang latihan serta tawaran-tawaran yang diumumkan agensi-agensi berkaitan termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan SME Corp,” jelasnya.

Tambah Noor Azmi, kaedah pemulihan semula perniagaan turut boleh diambil dengan melihat cara bagaimana para usahawan PKS boleh bergabung untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna. Ia sekali gus dapat meningkatkan lagi hasil atau pendapatan syarikat ke arah lebih kukuh.

Bank Negara Malaysia sebelum ini turut mengumumkan penambahan peruntukan kepada Kemudahan Bantuan Khas (SRF), daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion bagi membantu lebih banyak PKS yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Malah, sehingga petang 26 April, sebanyak RM4.5 bilion Dana Pinjaman Mudah PKS telah diluluskan kepada 8,500 PKS dan merupakan peningkatan daripada RM2.7 bilion untuk 5,000 PKS minggu lalu.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid turut menyokong saranan dalam meningkatkan daya saing PKS dengan mengaplikasikan ekonomi digital daripada pelbagai aspek seperti pengiklanan, pengisian pesanan, komunikasi antara pekerja dan kajian pasaran.

Beliau turut menekankan agar para usahawan mendaftar dengan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya segala bantuan kerajaan serta akses pembiayaan daripada institusi kewangan dapat ditingkatkan.

“PKS mudah mendapat bantuan kewangan dan bimbingan daripada agensi kerajaan serta institusi perbankan sekiranya menjadi sebahagian daripada ekonomi formal.

“Bimbingan yang diberikan oleh agensi kerajaan seperti SME Corp sehingga ke tahap yang membolehkan PKS mengeksport barangan mereka ke luar negara,” ujarnya kepada Awani.

Selain itu, terdapat keperluan untuk PKS melihat penyelesaian dalam dimensi berbeza dan mencontohi strategi model perniagaan syarikat yang mampu berdaya saing ketika ini meskipun berhadapan dengan krisis sama (Covid-19).

Perkara itu dapat dilihat melalui kejayaan syarikat jenama beg tangan serta kasut tempatan, VERN's yang dikini sudah selesa dan melepasi fasa genting selepas mengubah hala tuju perniagaan mereka.

“Antara inisiatif diambil adalah termasuk menawarkan baucar tunai kepada pelanggan yang boleh digunakan selepas tempoh PKP.

“Baucar ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelanggan, sebaliknya turut membolehkan kami mendapatkan tunai pada saat sukar seperti ini bagi membantu syarikat membayar gaji pekerja,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Ketika ini, apa yang paling penting adalah syarikat-syarikat daripada pelbagai sektor perlu mengadaptasi perniagaan mereka dengan keadaan semasa. Ia bagi memastikan kadar pendapatan syarikat tidak terjejas.

VERN's turut sedia membantu mana-mana PKS terjejas akibat Covid-19 yang ingin mendapatkan nasihat bagi memastikan perniagaan mereka kekal berdaya saing dalam waktu sukar ini.