Bank Negara Malaysia pada Rabu mengumumkan beberapa langkah pengawalan dan penyeliaan untuk menyokong usaha institusi perbankan membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat korporat menangani kesan akibat wabak COVID-19.

Langkah-langkah oleh BNM bertujuan untuk membolehkan institusi perbankan kekal fokus terhadap usaha menyokong ekonomi yang sedang menghadapi keadaan luar biasa dan tidak pernah dialami sebelum ini.

Langkah-langkah ini memberikan fleksibiliti kepada institusi perbankan untuk bertindak balas dengan pantas
terhadap keperluan pelanggan mereka. Institusi perbankan berada pada kedudukan yang kukuh untuk berbuat demikian memandangkan adanya penampan kewangan yang besar yang telah terkumpul sejak sekian lama.


Penangguhan dan Penstrukturan Semula Kemudahan Pinjaman/Pembiayaan

I. Pinjaman/pembiayaan kepada individu dan PKS

Bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat COVID-19, institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh 6 bulan, berkuat kuasa pada 1 April 2020. Tawaran ini diberikan
kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi Ringgit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020. Bagi kemudahan kad kredit, institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh 3 tahun (3-year term loan) dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan. Oleh yang demikian, peminjam perlu memahami perkara ini dan berbincang dengan institusi perbankan masing-masing tentang pilihan yang ada apabila menyambung semula jadual pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka
selepas tempoh penangguhan.

Individu dan PKS yang tidak mahu atau tidak perlu menggunakan kemudahan ini boleh meneruskan pembayaran balik mereka seperti biasa mengikut struktur yang sedia ada.


II. Pinjaman/pembiayaan kepada syarikat korporat

Institusi perbankan juga akan memudahkan permohonan syarikat korporat untuk menangguhkan atau menstrukturkan semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka dengan cara yang membolehkan syarikat korporat berdaya maju mengekalkan pekerja dan menyambung semula aktiviti ekonomi dengan cepat apabila keadaan menjadi bertambah baik. Syarikat korporat perlu menghubungi institusi perbankan mereka untuk membincangkan pelan pembayaran balik dan penstrukturan semula
kemudahan kredit syarikat korporat.

Bank telah menyediakan fleksibiliti bertempoh masa yang bersesuaian untuk institusi perbankan melaporkan penangguhan/penstrukturan semula kemudahan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS), dengan mengambil kira gangguan
bersifat sementara yang dihadapi oleh peminjam/pelanggan institusi perbankan.


Keadaan mudah tunai lebih daripada mencukupi

Aktiviti pengantaraan kewangan dalam tempoh ini disokong oleh mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dalam sistem perbankan. Bank akan terus membekalkan mudah tunai harian ringgit kepada bank-bank melalui pelbagai alat di bawah operasi pasaran terbuka Bank, termasuk pembelian terus
sekuriti kerajaan, swap pertukaran asing (FX swaps), repo berbalik (reverse repo) dan kemudahan pinjaman (standing facility). Bank juga telah mengambil langkah awalan untuk menambahkan mudah tunai, melalui
pengurangan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirements, SRR) sebanyak 100 mata asas baru-baru ini. Bersama-sama dengan fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada Peniaga Utama, langkah ini telah menambah kira-kira RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan. Selain itu, jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem berjumlah RM160 bilion. Daripada jumlah ini, kira-kira RM100 bilion yang ditempatkan di Bank. Jumlah yang dipinjamkan kepada Bank di bawah operasi pasaran terbuka boleh digunakan untuk memenuhi keperluan mudah tunai sistem perbankan. Bank akan terus memantau rapi perkembangan ini dan memastikan mudah tunai dalam sistem kewangan adalah mencukupi sepanjang masa.


Langkah-langkah penyeliaan dan kehematan tambahan

Sistem perbankan negara berada pada kedudukan yang kukuh ketika berdepan kesemua cabaran tersebut. Hal ini kerana terdapat penampan modal lebihan yang melebihi paras minimum pengawalseliaan sebanyak
RM119.7 bilion pada akhir Januari 2020. Bagi membolehkan institusi perbankan menyokong keperluan pelanggan mereka serta mengurus secara proaktif risiko yang berbangkit daripada perkembangan semasa, Bank telah mengkaji semula pelan aktiviti pengawalan dan penyeliaannya bagi tahun 2020 untuk memudahkan pematuhan dan meringankan beban operasi institusi perbankan. Sebagai sebahagian daripada kajian semula ini, inisiatif dasar dan penyeliaan akan ditumpukan semula pada pemantauan dan
respons terhadap perkembangan risiko serta memastikan institusi perbankan akan terus menjadi salah satu tunjang kepada ekonomi negara.

Sehubungan dengan itu, institusi perbankan akan dibenarkan untuk menggunakan penampan modal dan penampan mudah tunai mereka yang terkumpul sejak sekian lama bagi menyokong kegiatan pemberian pinjaman. Bagi tujuan ini, institusi perbankan boleh menggunakan penampan modal mereka sebanyak 2.5%, serta beroperasi di bawah paras purata nisbah perlindungan minimum mudah tunai pada 100% dan menggunakan rizab pengawalseliaan yang dikumpulkan semasa tempoh pertumbuhan pinjaman
kukuh. Bank menjangkakan institusi perbankan akan mengembalikan semula penampan mereka kepada paras yang baik dalam tempoh yang wajar selepas 31 Disember 2020.

Pelaksanaan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (NSFR) yang dirancang untuk dimulakan pada 1 Julai 2020 akan diteruskan. Walau bagaimanapun, paras minimum NSFR akan diturunkan kepada 80% dan institusi perbankan dikehendaki mematuhi keperluan 100% bermula dari 30 September 2021.

Bank Negara Malaysia akan melanjutkan tempoh masa bagi semua rundingan kertas perbincangan yang sedang berjalan dan draf dedahan sehingga 30 Jun 2020 dan selanjutnya. Institusi perbankan juga diberikan fleksibiliti terhadap tarikh penghantaran laporan pengawalan mereka untuk mengambil kira usaha yang diambil Kerajaan untuk membendung penularan COVID-19.

Dengan semua fleksibiliti yang diberikan dan sistem perbankan terus berdaya tahan, hasil sokongan amalan pengurusan risiko dan kehematan yang teguh, institusi perbankan di negara ini berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengambil langkah tindak balas yang selaras dengan keperluan negara dalam tempoh yang mencabar ini. Fleksibiliti ini merupakan sebahagian daripada langkah baharu yang akan disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 2020, untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh individu
dan sektor perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19, selain mengekalkan pekerja dan memastikan kelangsungan perniagaan yang berdaya maju.

Bank Negara Malaysia
25 Mac 2020