Penyelesaian baki hutang keseluruhan National Feedlot Corporation (NFC) usaha memulihkan dan membaiki semula situasi serta beban ekonomi negara hari ini.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjelaskan, ia sekali gus kaedah menjana pendapatan dan memberikan semula hasil kepada rakyat.

“Tidak kira kerajaan mana yang memerintah, kita kena melihat teras utama apa-apa kerajaan ialah untuk mendapatkan hasil kewangan tersebut sendiri.

“Pendekatan untuk menghasilkan pendapatan negara itu perlu dipelbagaikan dan salah satu cara ialah temasuklah (menyelesaikan) isu hutang daripada syarikat-syarikat besar itu yang perlu ditangani dengan baik.

“Pihak Kementerian Kewangan juga perlu berbincang dengan pihak syarikat besar selain Lembaga Hasil termasuk perbincangan dengan beberapa agensi lain untuk memastikan kepentingan rakyat serta negara mendapat hasil atau pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

BACA: NFCorp harap kelulusan kerajaan langsai baki pinjaman

Sebelum ini, Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail amat berharap untuk mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, untuk melangsaikan baki pinjaman RM250 juta NFCorp daripada kerajaan.

Jelasnya, cadangan penyelesaian itu telah dinyatakan melalui beberapa surat kepada Kerajaan Malaysia seawal satu tahun setengah lalu iaitu pada bulan November 2018, sehingga paling terkini pada 4 Februari 2020.

Dalam pada itu kata Dr Awang Azman, rundingan dan perbincangan juga merupakan satu kaedah penyelesaian selain hukuman semata-mata.

“Kita perlu mempraktikkan prosedur itu dengan melihat kepentingan negara dalam konteks untuk memperoleh pendapatan negara dengan kepelbagaian alternatif.

“Jadi tidak kiralah kerajaan mana yang memerintah, apa yang penting kita perlu mendapatkan dan menjana pendapatan yang boleh digunakan untuk tujuan pembangunan negara,” ujarnya.

Dr Mohamad Salleh sebelum ini turut berharap Peguam Negara dan Kementerian Kewangan akan memberi peluang yang adil dan saksama kepada pihaknya untuk menyelesaikan dan melangsaikan baki hutang pinjaman.

NFCorp sebelum ini dilaporkan akan membayar balik baki tertunggak pinjaman mereka kepada kerajaan.

Kata Dr Mohamad Salleh, NFCorp sudahpun mempunyai pembeli baru bersetuju untuk membayar balik baki pinjaman mereka sepenuhnya dalam masa tiga bulan bermula tarikh yang dipersetujui dengan kerajaan untuk penstrukturan semula syarikat itu.