Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan menerima rasuah berkaitan pekerja asing yang tidak mempunyai permit sah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rosdi Muhammad, 32 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Rosdi yang bertugas di Balai Polis Kluang Baru, Kluang, Johor, secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada seorang lelaki melalui transaksi bank pada 26 Januari 2017, di Jalan Air Jernih di sini.

Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lelaki itu dan pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah, di sebuah kilang di Johor.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

BACA: KPN dedahkan kegiatan anggota, pegawai polis beri suapan untuk lulus peperiksaan



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Johor.