Lapan suspek kes rompak dan pecah cermin kereta di sekitar ibu negara diberkas di tiga tempat berasingan dalam serbuan oleh Polis Selangor.

Kesemua mereka, termasuk dua wanita berusia 16 dan 41 tahun, dipercayai bergiat aktif sejak 2010.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kumpulan itu melakukan aktiviti samun di sekitar Gombak, Selayang, Desa Jaya dan Rawang.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Adnan berkata tiga daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencuri dan merogol, dan amat dikehendaki polis.

Kesemua suspek ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Samudra, Batu Caves dan masih dalam tahanan reman.

Antara barang yang dirampas termasuk dadah, telefon bimbit, komputer bimbit, beg tangan serta pedang dan parang yang dipercayai digunakan untuk memecah cermin kereta.

Kes terbaharu melibatkan wanita berusia 58 tahun yang mengalami kerugian lebih RM2,000 setelah disamun ketika berhenti di lampu isyarat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam sidang media sama, Adnan mendedahkan maklumat mengenai kes dera kanak-kanak tiga tahun yang mengalami kecederaan serius di Puchong kelmarin.

Katanya, ibu kandung mangsa warga Indonesia yang tidak memiliki pasport itu telah mencederakan anaknya sendiri.

Kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, polis memburu seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai membunuh teman sekerjanya, juga warga Bangladesh.

Mangsa ditemui mati di sebuah stor simpanan besi di Shah Alam dan dibungkus menggunakan plastik.

Mangsa parah di kepala dan kaki kanannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi ASP Daniel Lee Abdullah di talian 019-6820550.