Lapan keluarga mangsa kebakaran di Jalan Kubor, Kampung Pantai Dalam di sini boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan mereka rumah sewa baharu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata DBKL menawarkan lapan unit rumah sewa melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibah di Puchong yang sudah boleh diduduki mulai hari ini.

"Mereka akan diberi penempatan dengan tiga bulan sewa percuma dan kita juga akan membantu pengurusan pengangkutan dan pemindahan mereka ke sana," katanya dalam sidang media, di sini Rabu.

Sembilan rumah setinggan di Jalan Kubor di sini musnah dalam kebakaran tengah hari semalam melibatkan lapan keluarga tempatan dan lima keluarga bukan warganegara.

Sementara itu, UMNO Bahagian Lembah Pantai, Yayasan Wilayah Persekutuan, Baitulmal Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan turut menyampaikan beberapa sumbangan lain seperti wang tunai dan barangan kelengkapan sekolah.

Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pihaknya turut memberi sumbangan wang tunai kepada lima keluarga bukan warganegara yang menjadi mangsa kebakaran itu atas dasar kemanusiaan.

"Sejurus mendapat tahu tentang kebakaran ini, saya terus menghubungi Datuk Bandar bagi permohonan rumah bertujuan menempatkan mangsa dan kami juga telah menyumbangkan bantuan berupa barangan bayi, makanan dan keperluan asas sejak semalam," katanya.

Menurut Raja Nong Chik, urusan persekolahan anak mangsa juga akan dibantu Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan memandangkan penempatan baharu terletak agak jauh dari sekolah sekarang.

Seorang mangsa yang menerima sumbangan Noryatimah Md Yusa, 36, melahirkan rasa kesyukuran dan sedikit lega kerana diberi bantuan oleh pihak yang prihatin.

"Selepas kebakaran saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, mujur ada pihak membantu mangsa seperti kami dan sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban," katanya.

Zamri Daud, 34, yang telah mendiami kawasan itu selama lima tahun turut melahirkan rasa terima kasih atas bantuan yang diberikan.