Polis hari ini menahan lapan lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut menggunakan pistol di Serdang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata kesemua mereka berumur antara 20 dan 30 tahun yang menaiki tiga kenderaan itu ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada kira-kira 5 pagi.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis .38 bersama lima butir peluru hidup dan siasatan mendapati ada dalam kalangan mereka mempunyai rekod (jenayah) lampau," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dipercayai mengugut seorang kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja menurap jalan di Seri Kembangan pada 3.30 pagi semalam.

"Suspek membuat ugutan akan bertindak ganas dengan menembak mangsa sebelum mereka ke sebuah pusat hiburan di kawasan sama untuk membuat ugutan sebelum melarikan diri," katanya.

Megat Mohd Aminuddin berkata polis turut merampas tiga kereta dan sebuah motosikal dalam operasi itu.

-- BERNAMA