Lapan warga Indonesia diusir pulang oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, berikutan salah seorang daripada mereka dipercayai menyimpan gambar berunsur kumpulan militan Daish di dalam telefon bimbit.

Menurut sumber, kumpulan itu ditahan pihak berkuasa Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodland, Singapura kira-kira 1.30 pagi Selasa.

"Ketika pemeriksaan, pihak Imigresen Singapura menemui gambar-gambar kumpulan militan Daish serta gambar bom buatan tangan menggunakan kasut pada telefon bimbit salah seorang suspek.

"Pihak berkuasa Singapura kemudian meletakkan mereka pada status 'Di Larang Masuk' (NTL) ke republik itu, sebelum kesemua mereka diserahkan kepada polis Malaysia untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Sumber itu berkata polis telah menahan kumpulan berkenaan dari 2.30 pagi hingga 9 pagi, dan hasil soal siasat mendapati, suspek memperoleh gambar berkaitan Daish melalui satu kumpulan Whatsapp yang disertainya.

"Selepas siasatan dijalankan, suspek telah diusir ke Batam, Indonesia dengan menaiki sebuah feri sebelum ditahan dua jam kemudian oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Polis Daerah Riau untuk siasatan susulan," katanya.

Difahamkan, kesemua suspek yang merupakan penuntut Sekolah Pondok, Darul Hadits, Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia, berada di negara ini sejak 3 Jan lalu bagi mendapatkan rawatan kesihatan salah seorang daripada mereka.

Bagaimanapun empat hari kemudian, mereka bermalam di Perlis sebelum menuju ke Pattani, Thailand untuk belajar mengenai sistem pendidikan di Lembaga Pendidikan Islam di daerah berkenaan.

Menurut sumber, kesemua suspek kembali ke negara ini pada Isnin lalu bagi memasuki Singapura menerusi pintu sempadan Johor.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. -- Bernama