Landasan di Lapangan Terbang Mukah terus ditutup hingga 7.00 pagi esok selepas sebuah pesawat tergelincir di landasan itu pagi ini.

Malaysia Airport menerusi akaun Facebooknya menyatakan berikutan insiden itu yang membabitkan pesawat Maswings Twin Otter MH3553 dari Miri pada 9.20 pagi, landasan itu tidak boleh digunakan.

"Kesemua penumpang dinasihat menghubungi syarikat penerbangan masing-masing mengenai jadual penerbangan," katanya.

MH3553 tergelincir ketika mendarat akibat tayar kiri bahagian belakang pecah.

Ketua polis Mukah DSP Jimmy Panyau mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kesemua lapan penumpang dan dua juru terbang tidak cedera.

Jimmy berkata landasan ketika itu basah berikutan hujan lebat.

Rujukan pada http://www.flightstats.com, mendapati tiga penerbangan dari Kuching, satu dari Tanjung Manis dan satu lagi dari Sibu ke Mukah hari ini telah dibatalkan.