Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingat empat Wisma Persekutuan, Kepala Batas Pulau Pinang, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, lelaki berusia 39 tahun dikatakan hadir ke pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang terletak di bangunan itu untuk melapor diri.

Katanya, saksi yang bertugas di kaunter AADK memberitahu, mangsa telah hadir ke pejabat tersebut dan memaklumkan bahawa dia telah mengambil dadah.

Saksi terbabit kemudiannya meminta salah seorang anggota AADK untuk membuat ujian saringan air kencing ke atas mangsa.

Namun belum sempat berbuat demikian, mangsa dikatakan telah keluar dari pejabat tersebut sebelum mayatnya ditemui terdampar di bahagian bawah bangunan dalam keadaan berdarah.

Mangsa turut meninggalkan selipar yang dipakainya dihadapan pejabat AADK.

Noorzainy berkata, siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

Mayat mangsa yang berasal dari Permatang Manggis, Kepala Batas itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas, untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.