Sejumlah 119 pegawai Kerajaan berdepan prosiding tatatertib melibatkan 31 teguran punitif iaitu melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata ia merupakan sebahagian 52 peratus daripada keseluruhan 103 teguran punitif susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2016.

Jelasnya, selain teguran punitif, 748 merupakan teguran korektif iaitu melibatkan penambahbaikan sistem dan prosedur yang menjadikan keseluruhan 895 teguran audit dikeluarkan.

"Kerajaan telah menubuhkan 26 Jawatankuasa Siasatan yang melibatkan 60 teguran punitif di peringkat kementerian dan 43 teguran punitif di peringkat Kerajaan Negeri.

"Manakala 44 atau 5 peratus teguran punitif akan diteliti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara yang melibatkan Badan Berkanun dan Syarikat," katanya pada sesi bersama media susulan LKAN Siri 1 2016 di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan juga telah menubuhkan 14 Jawatankuasa Siasatan untuk menyiasat 60 teguran punitif tersebut.

"Berdasarkan siasatan tersebut didapati bahawa sehingga 2 Ogos 2017, 31 atau 52 peratus teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib yang melibatkan 119 pegawai.

"24 atau 40 peratus teguran didapati tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi sebaliknya memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa.

"Ini telah susahkan dalam penelitian susulan bersama Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," ujarnya.

Selain itu, katanya lima teguran atau lapan peratus sedang disiasat bagi mengenalpasti pegawai yang bertanggungjawab.

Jelasnya, 11 kementerian dikenakan 60 teguran punitif di peringkat persekutuan antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.