Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menyifatkan penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang dikeluarkan oleh Transparency International-Malaysia (TI-M) baru-baru ini amat mengejutkan memandangkan dapatan itu tidak seiring rekod pencapaian tangkapan yang sudah dibuat oleh suruhanjaya itu.
Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Zulkefle Abdul Hamid berkata, apa yang sepatutnya berlaku adalah indeks pencapaian harus lebih meningkat daripada sepatutnya.
Beliau berkata, ini ditambah dengan kesediaan SPRM yang sentiasa komited dalam membenteras kegiatan rasuah di seluruh negara termasuk di negeri ini.
“Ia tidak menggambarkan apa yang berlaku, terutamanya selepas tindakan-tindakan tangkapan yang kami buat, sepatutnya indeks itu lagi memberangsangkan, maksud saya ianya tinggi daripada yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) peringkat Politeknik Kota Kinabalu, di Sepanggar, hari ini.
Hadir sama adalah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu; Zainab Othman.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad meluahkan kekecewaan selepas CPI yang dikeluarkan oleh TI menunjukkan Malaysia bagi tahun 2017 berada dikedudukan tangga 62 daripada 180 buah Negara berbanding tangga 55 pada tahun sebelumnya.
Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Singapura dan Brunei.
Mengulas lanjut mengenai majlis itu, Zulkefle berkata, SPRM Sabah sentiasa komited dalam mempelbagaikan usaha mencegah rasuah di semua peringkat termasuk dalam kalangan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini menerusi program kempen IBR.
Jelasnya, ia sebagai langkah memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat berhubung bahayanya gejala salah laku rasuah sekali gus mendidik rakyat untuk menghindari budaya songsang berkenaan dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut menyatakan kesediaan pihak SPRM untuk menerima dan melaksanakan IBR melibatkan pemimpin-pemimpin politik terutama sekali bagi calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.