Laporan Daya Saing Global 2014-2015, yang menyenaraikan kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 20 daripada kalangan 144 negara, turut mengiktiraf bahawa Malaysia secara relatif berjaya dalam usaha
memerangi soal rasuah dan birokrasi.

Malaysia memperbaiki kedudukan daya saing negara berbanding di kedudukan ke-24 daripada 148 negara yang dicatat tahun lepas.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia yang memperkenalkan strategi transformasi besar-besaran sejak 2009, muncul antara negara yang berjaya memerangi elemen rasuah dan birokrasi, yang sering menjadi perhatian ramai pihak.

"Di sebuah rantau yang dihimpit (isu) rasuah dan birokrasi, Malaysia muncul sebagai antara negara yang secara relatifnya berjaya dalam menangani kedua-dua isu ini sebagai sebahagian daripada program ekonomi dan program transformasi kerajaan," demikian menurut laporan berkenaan.

Ulasan Laporan Daya Saing Global 2014-2015 ini merupakan satu lagi pengiktirafan antarabangsa ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan khususnya Malaysia selepas penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berkenaan Dadah dan Jenayah mengiktiraf kejayaan dan amalan baik negara dalam menangani isu rasuah.

Satu daripada aspek yang diiktiraf ialah kebebasan SPRM menangani elemen rasuah dengan pembentukan Panel Penilaian Operasi (PPO) - satu daripada lima badan bebas yang memantau operasi dan perjalanan SPRM.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia mempunyai lima badan bebas yang memantau badan pencegahan rasuah negara.

Bagi memastikan kebebasan dan ketelusan operasi siasatan, pada tahun 2008, kerajaan menubuhkan SPRM bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan menggubal undang-undang pencegahan rasuah baharu iaitu Akta SPRM. Malah pembentukan SPRM juga disusuli dengan kewujudan lima badan bebas.

Tahun berikutnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, kerajaan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus untuk pencegahan rasuah.

NKRA Membanteras Rasuah berkomited untuk mempertahankan prinsip kesaksamaan dan keadilan di Malaysia dan melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk mengadakan mahkamah khas bagi membicarakan kes rasuah.

Selain itu, Laporan Daya Saing Global 2014-2015 turut mengesahkan Malaysia berada dalam kedudukan yang memuaskan dalam komponen Indeks etika dan rasuah.

"Malaysia berada dalam kedudukan memuaskan (di tangga) ke-26 dalam komponen Indeks etika dan rasuah, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan," menurut laporan itu.