Laporan Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) yang diumumkan sengaja dipolitikkan bagi memberi imej negatif kepada Malaysia, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut beliau Malaysia sudah pun menunjukkan komitmen ke arah negara yang lebih adil dengan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau dibandingkan antara ISA, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 kini memiliki lembaganya sendiri yang akan mengadili suspek tersebut.

"Saya rasa laporan itu (HRW) dipolitikkan kerana bagi mereka, negara seperti Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai Teluk Guantanamo iaitu kem tahanan tanpa bicara sekalipun tidak pernah jadi isu besar untuk dihebohkan," kata Nur Jazlan.

Sebelum ini, laporan HRW mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menampilkan dirinya sebagai pembawa perubahan liberal di luar negara, tetapi "tidak begitu di negara sendiri".

Apabila ditanya mengenai dakwaan HRW bahawa POTA digunakan untuk mendiamkan musuh politik, Nur Jazlan berkata, mereka yang ditahan diberi hak untuk merujuk kes mereka kepada lembaga bagi membuat penilaian.

"Ia sama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menggariskan tahanan mempunyai hak merujuk ke mahkamah untuk dibebaskan," jelas Nur Jazlan.

Tambah beliau, negara lain mempunyai undang-undang yang lebih keras dan HRW perlu juga fokus kepada negara berkenaan.

"Contohnya, Singapura yang masih menggunakan ISA. Mereka tidak fokus terhadap Singapura seperti yang dilakukan ke atas Malaysia," kata beliau.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan laporan tersebut sebagai "hanya pandangan orang luar".

"Ia tidak penting... itu pandangan mereka. Mereka tidak duduk sendiri di sini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad pula berkata, laporan itu dibuat berdasarkan kaca mata HRW dan bukannya berdasarkan perspektif lokal.

"Tidak salah bagi kita untuk mengakui bahawa Malaysia merupakan negara yang konservatif, bukan ultra-konservatif, tetapi konservatif yang disertai nilai-nilai kesederhanaan yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Shahrir ketika ditemui.