Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol seorang pembantu rumahnya.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, polis juga telah menerima laporan kimia dan perubatan bagi kes tersebut yang diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

"Laporan kimia dan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital telah kita peroleh dan kertas siasatan telah diangkat ke pihak Pengarah Pendakwaan Negeri untuk mendapat keputusan.

"Saya percaya pihak Pengarah Pendakwaan Negeri akan mengangkat perkara ini ke Putrajaya. Kita masih menunggu jawapan. Hari ini kita angkat ke Pengarah Pendakwaan Negeri," katanya sambil menambah, pihaknya menerima laporan itu daripada Jabatan Kimia pada Isnin lepas.

BACA: Polis nafi dakwaan laporan forensik kes rogol exco Perak hilang

BACA: Kertas siasatan kes rogol Exco dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya

Razarudin berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong, di rumah majikannya itu, di Meru.

BACA: Exco didakwa merogol: Jangan buat spekulasi, provokasi - Polis

BACA: "Mengapa tanya, saya tidak boleh kerja?" - Exco Perak bertugas seperti biasa

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata pihaknya masih giat mengesan empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kes samun barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini pada awal pagi Isnin lalu.

"Kes itu masih dalam siasatan dan kita yakin akan berjaya mengenal pasti semua suspek dalam masa terdekat," katanya.

BACA: Rompak barang kemas RM1 juta: Polis ambil keterangan pemandu pacuan empat roda

BACA: Macam dalam filem Hollywood, barang kemas RM1 juta dirompak

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua pekerja yang sedang dalam perjalanan ke Kelantan membawa barangan kemas milik majikan menaiki dua kereta, dirempuh sebuah lori dinaiki suspek yang kemudiannya melarikan empat beg berisi barang kemas itu.